Cari disini....

Monday 1 October 2012

Khabar dari Benua Australia...

Assalamualaikum buat sahabat-sahabat pastoralist(baru belajar dari sifu Alwi),tiada apa yang nak di update cuma nak menyampaikan maklumat terkini berkaitan perubahan peraturan baru untuk import ternakan hidup dari Australia.Aku ambil maklumat ini dari Facebook pengimport kambing dan biri-biri terbesar dari Australia iaitu Major Transglobal Group(MTG).Khas untuk sifu Alwi yang memang tak ada Facebook.haha..

BAHAN BACAAN PENTING UTK SEMUA PENTERNAK.

PERATURAN BARU PENGIMPOTAN RUMINAN DARI AUSTRALIA
 
Ekoran beberapa kes penganiayaan kepada ternakan seperti yang di war-warkan oleh NGO Australia yang sangat berpengaruh ia itu RSPCA dan Animals Australia (The Voice For Animals), satu kempen dinamakan Ban Live Export telah dilancarkan secara besar-besaran bagi menghalang ekspot ternakan hidup dari Austr...
alia. Video gambaran penganiayaan ternakan seperti yang berlaku di Indonesia pada Mei 2011, telah mencetuskan satu desakan yang telah memaksa kerajaan Australia mengenakan penggantungan sementara ekspot ruminan kenegara tersebut pada Jun 2011. Australia mengekspot sebanyak 694,429 ekor lembu hidup pada tahun 2011 (jatuh 21% berbanding 2010) bernilai AUD 629.4 juta. Indonesia merupakan pengimpot lembu hidup terutama untuk tujuan sembelihan/fidlot terbesar Australia dengan jumlah 413,359 ekor pada 2011 bernilai AUD 275.6 juta. Jumlah tersebut jatuh secara nyata berbanding tahun 2010 disebabkan penggantungan sementara ekspot selama 3 bulan pada tahun 2011.

Selain dari Indonesia, banyak bukti-bukti lain penganiayaan terhadap haiwan ternak diperolehi dan perkara tersebut amat dipandang serius oleh pihak Australia untuk melakukan sesuatu dan pada masa yang sama tidak menjejaskan industri yang memberi pekerjaan kepada lebih kurang 10,000 orang warganya.
Dari segi jumlah ternakan hidup yang diekspot, biri-biri merupakan ternakan yang terbanyak, dimana pada 2010 sebanyak 2.8 juta biri-biri Australia diekspot , bernilai AUD 333 juta, terutama ke Timur Tengah dengan didahului oleh Kuwait sebanyak 1,153,765 ekor, menyumbang 40% dari jumlah export, diikuti oleh Bahrain (15%), Turkey (14%), Qatar (11%) Jordan (7%) dan lain-lain, termasuk Malaysia.

Pada 2010, Australia juga telah mengekspot sebanyak 77,414 ekor kambing bernilai AUD 10.3 juta (kebanyakan nya kambing Feral) dan dari jumlah tersebut 83% (lebih 60,000 ekor) diekspot ke Malaysia, menjadikan Malaysia pengimpot terbesar kambing Australia, diikuti oleh Singapura dan Brunai Darussalam.
Berdasarkan fakta diatas, kerajaan Australia tidak menafikan sumbangan sektor tersebut terhadap ekonominya serta peluang pekerjaan yang dinikmati oleh warganya, tetapi pada waktu yang sama perlu menangani isu penganiayaan terhadap ternakan tersebut.
Ekoran dari permasaalahan tersebut, pada 13 Julai 2011, Menteri Persekutuan bagi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF – Department of Agriculture, Fisheries and Forestry) , Hon. Joe Ludwig telah mengumumkan penubuhan IGWG ( Industry Government Working Group) bagi membincang, merancang dan membentuk Sistem Jaminan Rangkaian Pembekal Pengekspot atau ESCAS ( Exporter Supply Chain Assurance System).

Empat prinsip asas sistem tersebut bertujuan penggubalan semula dasar eksport ternakan hidup, adalah :
• Menepati Piawaian OIE (World Organisation for Animal Health) bagi Kebajikan Haiwan
• Membolehkan ternakan secara berkesan dipantau, dijamin dan dipertanggungjawabkan kepada pengekspot melalui Sistem Rangkaian Pembekalannya (ESCAS) dari mula penerimaan ternakan sehingga ke proses sembelihan.
• Rekod dan penyediaan lapuran sebagai rujukan
• Di sahkan dan di audit oleh badan bebas yang dilantik
ESCAS ( Exporter Supply Chain Assurance System)
Kerajaan Australia telah memaklumkan melalui kedutaan Malaysia di Australia dan kedutaan Australia di Malaysia tentang perlaksanaan sistem ESCAS, dan perbincangan antara pihak JPV Malaysia dan MLA (Meat Livestock Australia) telah bermula sejak awal 2012 lagi.
Sistem Jaminan Rangkaian Pembekal Pengekspot atau ESCAS merupakan satu sistem yang dirangka khusus bagi menjamin setiap ternakan hidup yang diekspot dari Australia dikendalikan (handling) mengikut piawaian Australian Standards for the Export of Livestock (ASEL) dan OIE (World Organisation for Animal Health) bagi menjamin kebajikan ternakan sentiasa diberi keutamaan, mengelak sebarang bentuk kekejaman, menghormati serta memastikan keselesaan ternakan dari titik penerimaan sehingga ke proses sembelihan.
Pihak pengekspot dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi memastikan seluruh jaringan pembekalannya (Supply Chain) dari pengimpot dan pemborong yang disahkan/berdaftar (authorized) mengikuti keseluruhan prosedur seperti yang telah ditetapkan. Perlaksanaan keseluruhan prosedur akan dipantau secara rapi oleh MLA ( Meat Livestock Australia) dan juruaudit yang dilantik.
NGO yang berkaitan juga sudah pastinya akan sentiasa meneropong dari segenap sudut bagi mencari apa juga kesalahan yang mungkin dilakukan (tidak mengikut tatacara pengendalian seperti dinyatakan) walau pun kecil.
Bagi memastikan ESCAS mencapai matlamatnya, pihak MLA (Meat Livestock Australia), atas daya inisiatifnya telah mula melancarkan program intensif memberi taklimat, bengkel , latihan serta lawatan ke fasiliti pihak pengimpot dan jaringan pembekalan yang disyorkan oleh mereka untuk tunjukajar, nasihat, demonstrasi semua prosedur pengendalian dan sembelihan mengikut piawaian yang ditetapkan.

PROSEDUR PENJUALAN/SEMBELIAN TERNAKAN HIDUP (LEMBU/KAMBING/BIRI-BIRI) DARI AUSTRALIA

 • ESCAS telah dikuatkuasakan bermula 1 hb September 2012
• Bermula pada tarikh tersebut, ternakan yang di impot oleh pengimpot berdaftar yang diluluskan dalam sistem ESCAS cuma boleh di jual kepada pemborong berdaftar (authorized buyer) yang diluluskan dalam jaringan pembekalannya. Penjualan kepada pemborong yang tidak berdaftar (unauthorized buyer) akan menyebabkan pengeksport (Syarikat Australia) tidak boleh lagi menjual kepada pengimpot berkenaan.
• Untuk menjadi pemborong berdaftar dibawah sistem ESCAS, para peniaga/pemborong perlu memohon kepada pengimpot berkenaan. Mereka perlu mempunyai fasiliti yang lengkap seperti dinyatakan dalam syarat ESCAS. Fasiliti tersebut perlu di audit untuk kelulusan dan pihak pemborong perlu melalui proses latihan yang dikendalikan oleh pihak MLA (Meat Livestock Australia). Pemborong yang telah menepati semua syarat ESCAS akan diberi kelulusan sebagai pemborong berdaftar di bawah pengimpot tertentu.
• Pengendalian ternakan dari masa ternakan sampai di pelabuhan atau lapangan terbang perlu menepati piawaian ASEL dan OIE ; meliputi , kemudahan di pelabuhan dan lapangan terbang, makanan/minuman ternakan , prosedur sekiranya menempuh perjalanan yang lewat (jadual tertangguh), jumlah pembeli/wakil pembeli/pekerja di pelabuhan/lapangan terbang, persediaan lori pengangkut, pemindahan ternakan dari crate ke lori dan dari lori ke fasiliti pemborong berdaftar, jumlah ternakan yang sesuai bagi setiap lori dan berdasarkan saiz ternakan, pengendalian ternakan sakit, lemah dan tercedera, teknik menghalau ternakan dan lain-lain.
• Semua ternakan yang dibeli oleh pengguna dari pengimpot atau pemborong berdaftar perlu menyembelih ternakan tersebut di fasiliti sembelihan/rumah sembelih yang telah diluluskan kepada pengimpot atau pemborong berdaftar tersebut. Pengimpot atau pemborong berdaftar tidak boleh sama sekali menjual ternakan hidup untuk disembelih ditempat lain kepada pembeli.
• Penyembelihan untuk tujuan akikah, korban, kenduri, upacara agama (seperti Hindu) di fasiliti sembelihan/rumah sembelih yang belum atau tidak diluluskan tidak dibolehkan sama sekali; ini termasuklah di surau, masjid, kuil , kawasan rumah dan mana juga tempat pada setiap masa/keadaan seperti Hari Raya Korban, Deepavali dan lain-lain perayaan.
• Teknik pengendalian ternakan sebelum sembelihan dan proses sembelihan – meliputi jenis pisau, ketajaman pisau, teknik pengendalian ternakan yang akan disembelih dan teknik sembelihan – memahami anatomi ternakan , tempoh mati perlu mematuhi semua piawaian seperti ditetapkan.
• Pengimpot dan pemborong berdaftar akan di audit dari semasa kesemasa oleh Juruaudit yang dilantik oleh MLA bagi memastikan perlaksanaan sistem ESCAS dipatuhi sepenuhnya, dan lapuran akan dihantar serta dinilai oleh MLA untuk sebarang keputusan dibuat.

PENGIMPOTAN DAN KEBERGANTUNGAN BEKALAN TERNAKAN DARI AUSTRALIA
Berdasarkan peraturan ketat oleh pihak Australia, dijangka hanya 3 – 4 pengimpot akan diberi hak/kelulusan mengimpot melalui sistem ESCAS. Kesemuanya adalah Syarikat yang telah lama berkecimpung (established) dan akan menjadi sangat sukar kepada pemain baru. Penjualan ternakan juga tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Semua pengimpot dijangka akan terus berhati-hati bagi memastikan ‘supply chain’ mereka mengikut semua peraturan yang ditetapkan. Adalah dijangkakan jumlah impot diperingkat awal penguatkuasaan nya akan berkurang secara nyata dan kembali meningkat apabila ianya sudah difahami.
Kebergantungan kita kepada Australia masih tiada penggantinya. Pembekalan kambing dan biri-biri terutamanya, dari Thailand, Myanmar dan Indonesia masih banyak halangan dari segi protokol, harga yang tidak kompetetif, logistik dan bekalan ternakan. Keadaan sedemikian akan menyebabkan kekurangan bekalan yang nyata terutama ketika keperluan bekalan yang tinggi semasa musim korban tahun ini dan lain-lain perayaan. Permintaan yang melebihi penawaran akan menyebabkan harga pasaran meningkat.
Dengan sistem ESCAS, kos tambahan meliputi kos audit dan lain-lain yang akan diserap oleh pengguna juga akan menyebabkan harga ternakan meningkat.
Pembelian ternakan/sembelihan diluar sistem ESCAS masih boleh dilakukan untuk ternakan – ( lembu, kambing, biri-biri ) tempatan, Indonesia, Thailand, Myanmar atau dari negara-negara lain selain Australia. Sekiranya surau, masjid, dan rumah ibadat lainnya masih berhasrat melakukan sembelihan ditempat mereka, seperti yang selalu dipraktikkan, masih boleh melakukan sekiranya menggunakan lembu/kambing/biri-biri yang bukan di impot dari Australia.

 KESAN DARIPADA SISTEM ESCAS
Banyak kesan positif dapat dilihat dari perlaksanaan sistem ESCAS di mana Malaysia akan mengikuti tatacara negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah dalam pengendalian ternakan berdasarkan piawaian OIE.
Ia juga boleh menyebabkan kekurangan bekalan dalam tempoh singkat – sederhana dan ini akan kembali mendorong industri ruminan negara berkembang. Dorongan tersebut juga boleh disebabkan oleh harga pasaran yang semakin menarik.
Penggunaan rumah-rumah sembelih yang dibina oleh kerajaan juga akan digunakan secara maksima disebabkan penguatkuasaan tersebut.
Kesan negatif untuk jangkamasa pendek adalah mungkin ramai yang tidak dapat melakukan ibadat korban untuk tahun ini dan masyarakat beragama Hindu akan kekurangan daging kambing/biri-biri segar untuk musim perayaan Deepavali disebabkan kekurangan bekalan yang ketara.

Disediakan oleh:
Dr.P.Azhar Zakaria
Pengarah Urusan
Major Transglobal Sdn Bhd
 
 
Kesan-kesan positif dan negatif pun dah diceritakan,berkemungkinan harga kambing dan biri-biri import dari Australia akan meningkat.Dan seterusnya membantu melonjakkan kembali industri ternakan kambing dan biri-biri tempatan.Adakah ini petanda zaman keemasan untuk bidang ternakan telah muncul?Harap-harap begitulah ya..hehe..:-)

2 comments:

  1. bagus laa ,, kamben kampong pun harga akan naik ,,,, terbaekkkkkkk baru lah rancak semula industri kamben ni di malaysia ,,,,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu Pak Oncu,tapi hargo kmbing tnggi sgt pun tak elok jgak.Hrga skrg dlm Rm18-20 per kilo berat hidup sy rsa ok dah.Yg bgus nye harga kmbing import meningkat n lebih mahal dari kmbing tempatan barulah cantik..cuma yg mrisaukan sy harga kmbing naik harga pelet mkanan kambing pun ikut naik.itula yg membebankan ramai penternak terutama sistem intensif..apapun semuga industri ternakan tempatan semakin meningkat dan boleh capai tahap 50-70% local supply..insyaAllah..

      Delete